Friday, April 26, 2013

Bukan Goyang Inul




     Ohh... dia buat lagi. Selepas kejayaan lagu Gangnam Style dan tarian kudanya yang menjadi kegilaan sedunia, dia kembali dengan lagu terbarunya Gentleman. Apa istimewanya lagu ini sehingga mendapat berjuta views di laman Youtube? Penyanyinya pula tidaklah sekacak mana. Tapi dia ada formula yang 'baekk punya' untuk melariskan produknya. Tarian. Lagu yang catchy ditambah lagi dengan gerak tari yang mengikut rentak lagu, membuatkan penonton yang melihat video ini mahu turut sama berdansa. Namun, ini bukanlah pertama kali dunia menyaksikan fenomena muzik yang sebegini. Dan aku tidak bercakap tentang Micheal Jackson, Janet Jackson ataupun Britney Spears. Tarian mereka memang hebat. Tapi bukan semua orang mampu menari seperti mereka. Mau patah pinggang kalau silap cara. Psy bijak. Pergerakan tarian yang seakan-akan senam aerobik itu berjaya mencuri tumpuan dunia, kerana rutinnya yang ringkas dan mudah dipraktikkan. Secara peribadi aku merasakan, tanpa muzik video yang memaparkan tarian itu, kegilaan terhadap lagu ini tidak akan berlaku. Tarikan sebenarnya adalah pada tarian itu. Namun fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru. Sama ada anda ingat atau tidak, formula ini pernah digunapakai sebelum ini. 2 lagu di bawah ini adalah antara yang paling memorable bagi aku...

Las Ketchup-The Ketchup Song (Asereje)
(Popular pada tahun 2002)
Menjadi kegilaan ramai bukan saja tariannya, tapi juga dalam
bentuk ringtone polyphonic

Los Del Rios - Macarena
(Popular pada tahun 1995)
Pernah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar di sekolah
aku sempena sambutan Hari Guru... dalam versi
yang lebih sopan of course. Versi geng bas sekolah...
(aku tidak terlibat dalam persembahan itu)

     Psy telah membuktikan bahawa dia bukanlah one-hit-wonder (tampil dengan satu lagu hit dan selepas itu menyepi). Namun aku percaya formula ini akan menjadi basi dan memualkan jika digunakan sekali lagi dalam projek yang seterusnya. Dia perlu mencari formula baru selepas ini untuk kekal popular. Orang sekarang bukan hanya mendengar, malah melihat. Dan semakin kerap aku menonton klip video Gangnam Style dan Gentleman, semakin aku merasakan bahawa dia lebih kepada seorang comedian. The Singing Comedian. 

     Ahh... apalah yang aku tahu tentang K-pop. Aku bukan minat pun... Gwiyomi?! Kucing ini lagi comel... comel tanpa Gwiyomi... Ahaks!


P/S: Aku suka quote ini ''Setiap perjalanan adalah berbeza... dan aku berbeza pada setiap perjalanan''. Aku sudah lupa siapa yang menuturkan quote ini...



Friday, April 12, 2013

Dia Mahu Review Blog Korang



Ada sesiapa mahu blognya direview?
Untuk join segmen ini sila klik banner di atas...

Tarikh tutup: 15 April 2013

Saya sudah join... :)




Saturday, April 6, 2013

Rindu Dendam Tak Sudah

     Kulit muka depan novel adalah pemangkin sesuatu novel itu untuk menarik perhatian pengunjung-pengunjung di toko buku. Jika kulit muka depannya nampak menarik, maka lebih ramailah orang yang akan merasa terpanggil untuk membaca sinopsisnya, begitu juga sebaliknya. Jujur, bagi aku novel Bougainvillea ini bukanlah novel yang paling cantik kulit muka depannya (kelihatan sedikit outdated) dan nampak kurang menyerlah jika dibandingkan dengan novel-novel lain. Namun, dari berpuluh-puluh novel yang aku baca sinopsisnya hari itu, Bougainvillea adalah antara yang paling menarik dan lari dari tema 'cinta terhalang'/'cinta antara dua darjat'. 



     Apa perasaan kalian jika kekasih yang dipuja tiba-tiba menghilang tanpa jejak....................

     Walau terlangkup langit dan bumi, kasihku tak tumpah pada yang lain. Itulah Hakimi yang digambarkan dalam novel ini. Kasihan dia, kehilangan Nina, teman wanitanya dari zaman sekolah, tanpa dapat dikesan membuatkannya enggan menerima cinta lain dalam hidupnya walau setelah bertahun lamanya, sehingga dia menginjak ke dunia pekerjaan. Bekerja sebagai seorang polis, secara diam-diam, dia terus menyiasat punca kehilangan teman wanitanya itu tanpa berputus asa. Kalaulah Hakimi itu adalah karakter yang benar-benar wujud di alam nyata, akan aku katakan padanya "Ok Hakimi. Enough is enough! Move on! She's dead!!!" (oh jahatnya!)

     Muncul pula Deena, gadis yang mempunyai iras wajah saling tak tumpah seperti Nina. Sungguh, itu bukan pertemuan 'jejak kasih' yang diharapkan Hakimi. Dia masih mahukan teman wanitanya, Nina. Namun, kemunculan Deena telah merungkai satu persatu misteri kehilangan Nina. Deena yang secara kebetulan baru berpindah ke rumah Nina, sering dihantui oleh bayangan-bayangan gadis yang seiras dirinya. Seolah-olah memberi clue bagi sebuah puzzle untuk diselesaikan. Deena dan Hakimi lantas bersatu, dalam menyelesaikan kes itu dan seiring dengan petanda-petanda yang makin terserlah, bahaya juga semakin dekat dengan mereka.

     Bougainvillea adalah sebuah karya yang bagus. Penulisnya Packy Sidique bijak memainkan unsur-unsur suspen dalam penulisannya, seolah olah cuba bermain teka teki dengan pembaca. Bukan hanya mengusung tema cinta semata mata, bahkan penulis juga memasukkan unsur kepolisian dan forensik di dalam cerita ini (memang, nampak sangat penulis novel ini adalah peminat CSI.. hehe..). Aku bagi 3.5 bintang untuk novel ini. Bagi yang tak tahu, Bougainvillea adalah nama saintifik bagi bunga kertas. Dan apa pula kaitannya bunga kertas dengan cerita ini? Ahh bacalah sendiri... huhu...

Bila rindu datang bertandang, Hakimi akan mendengar lagu ini sambil menangis dan memukul-mukul bantal. "Nina! Kembalilah kepadaku!!!" (Parodi. Tidak ada di dalam novel ini...)