Thursday, October 17, 2013

Misi Memboloskan Diri



     ESCAPE PLAN. Sebelum menonton filem ini, berkali-kali juga aku tersasul menyebut tajuknya. Escape Plan jadi Sweet Escape. Bolehh??? Mujur aku tidak tersasul menyebutnya di depan kawan aku hari itu dan di kaunter tiket, kalau tidak... bikin malu saja. Ohh Sweet Escape itu adalah tajuk lagu Gwen Stefani ya. Hehe...


     Filem ini mengisahkan tentang Ray Breslin (Stallone) yang kerjanya adalah melarikan diri dari penjara. Tidak, dia bukan banduan. Dia hanya berpura-pura menjadi banduan, bagi membuktikan bahawa penjara dimana dia ditempatkan untuk menjalani 'hukuman' itu boleh dibolosi olehnya dan memperlihatkan kelemahan sistem penjara. Selepas beberapa kali berjaya melepaskan diri dari penjara, dia diupah pula untuk merekabentuk sebuah penjara yang escape-proof mengikut ideanya sendiri. Tanpa diduga, dia telah diperdaya, disabitkan dengan tuduhan palsu dan dimasukkan ke sebuah penjara; penjara ciptaannya. Soalnya sekarang, bagaimana dia harus melepaskan diri dari penjara yang mempunyai sistem keselamatan yang tip-top dan tanpa laluan melepaskan diri. Disinilah kepakarannya teruji dengan lebih ekstrem. Emil Rottmayer (Arnold) seorang banduan yang menjadi rakannya di dalam penjara menawarkan diri untuk membantu setelah mengetahui siapakah Breslin sebenarnya. Mampukah dia melepaskan diri? Siapakah yang telah memperdayakannya? Mahu tahu lebih lanjut, tontonlah sendiri di pawagam berdekatan anda...


     Sekitar tahun 80an-90an dulu Sylvester Stallone sering dikomparasikan dengan Arnold Schwarzenegger. Siapa bintang filem aksi yang lebih hebat beraksi di layar perak? Stallone atau Arnold? Ohh orang tidak peduli lagi tentang 'Stallone vs Arnold' itu. Kini, orang lebih interested dengan 'Edward vs Jacob' (not me of course. I hate Twilight). Walaupun zaman kegemilangan Arnold dan Stallone sudah passé, gandingan dua bintang filem aksi tersohor ini masih mampu memberi tarikan yang kuat pada peminat-peminat yang merindui lakonan mereka.

     Apa yang aku suka tentang filem ini adalah, watak yang dimainkan Stallone dan Arnold bukanlah watak yang sentiasa menang, ala ala kebal dan berlagak kuat dalam setiap keadaan. Breslin dan Rottmayer adalah watak hero yang vulnerable, yang nampak ketara kesengsaraan dan kesakitannya. Ini berbeza dari kebanyakan watak-watak 'kontrol macho' yang pernah dimainkan oleh Stallone dan Arnold. Filem ini juga ada memaparkan comedic side Stallone dan Arnold (terutama sekali Arnold) yang menjadikan filem ini agak fun untuk ditonton. Jim Caviezel, Vinnie Jones dan rapper 50cent juga turut berlakon dalam filem ini. 4/5 bintang. Klik SINI untuk trailer ESCAPE PLAN. Bagi peminat siri Prison Break yang popular suatu ketika dulu, filem ini sesuai untuk kalian tonton.

Lagu ini bukan soundtrack untuk filem ini, sekadar halwa telinga

P/S: Aktor Hollywood, makin tua makin dihargai. Masih dianggap releven untuk menjadi hero dalam sesebuah filem. Kan bagus begitu...






Tuesday, October 15, 2013

Salam Aidiladha Untuk Semua!




     IKHLAS dalam setiap apa yang dilakukan. SABAR dalam menghadapi ujian Allah. SYUKUR apa adanya. InsyaAllah, ada hikmahnya. Semua akan  menjadi indah pada saatnya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
MAAF ZAHIR BATIN


 

Thursday, October 10, 2013

INFERNO: Terapi Tidur




     Entah apa angin kawan aku Sabtu lepas, bersungguh benar dia mengajak aku menonton sebuah filem Kantonis bertajuk INFERNO. Jadi aku pun pergilah menonton Inferno bersamanya, dengan harapan filem itu bagus dan aku tidak tertidur di situ. Bukan aku tidak suka, cumanya aku jarang sekali menonton filem Kantonis dan pelakon-pelakon Hong Kong juga tak ramai yang aku tahu. Aku seorang yang mudah berasa jelak jika sesebuah filem itu tiada pelakon-pelakon yang aku kenal. Kecualilah kalau filem itu benar-benar hebat dan boleh 'berdiri sendiri' tanpa perlu bergantung pada nama-nama besar.


     Mungkin ramai para wanita yang menonton filem ini semata-mata kerana Louis Koo. Realiti maa... kalaulah filem ini tidak ada Louis Koo yang kacak itu dan pelakon utamanya tidak popular, aku tak yakin tiket filem ini terjual dengan larisnya. Ya, Louis Koo mungkin popular tapi tidak membantu membangkitkan keterujaan aku untuk menonton filem ini. Berat rasanya mata aku pada malam itu. Kawan aku pula asyik menyiku-nyiku tangan aku setiap kali aku terlelap. Tidak mahu aku terlepas babak-babak yang menarik barangkali. Atau mungkinkah aku berdengkur dengan mulut ternganga? Serius, filem ini sangat membosankan bagi aku. Dalam kemengantukan itu, mata aku sempat meliar-liar ke arah penonton di hadapan. Kelihatan seorang wanita juga terlentok kepalanya di kerusi (syoknya akak tu tidur), manakala dua orang anak kecilnya pula sibuk bertanya itu ini pada si bapa di sebelah yang melayan penuh sabar sambil menonton skrin besar di hadapan. Teringat iklan Petronas, 'burung apa? Burung Murai. Burung apa?! Burung Murai.' Okay, tak ada kena mengena dengan entri ini...

     Tak banyak yang aku nak ulas tentang filem ini, kerana bagi aku filem ini biasa-biasa saja. Bagi mereka yang menaruh minat mendalam terhadap prosedur memadam kebakaran, mungkin akan terhibur menontonnya. Filem ini adalah tentang bencana kebakaran yang terjadi di dalam sebuah bangunan yang sedang berlangsungnya satu majlis dan di sinilah terpancar semangat kepahlawanan ahli bomba yang mempertaruhkan nyawa sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Filem ini memfokuskan kepada dua orang karakter iaitu Keung, seorang bekas ahli bomba dan abangnya Tai Kuan, juga seorang ahli bomba. Walaupun tidak lagi bekerja sebagai ahli bomba, tapi kerana semangat untuk berjuang itu masih membara, Keung bersama-sama abangnya terus cuba mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan dan membawa mangsa keluar dari bangunan yang sedang dimamah api itu. Yawn...

     "Kau tidur ek tadi? Sabar aja la aku...." kata kawan aku usai tamat tayangan. Oh, aku hanya terbayangkan tilam, selimut dan bantal saat itu. 2/5 bintang untuk filem ini.



P/S: Suka menonton filem-filem komedi Hong Kong yang sangat kelakar seperti 92 Legendary La Rose Noire, All's Well Ends Well dan filem-filem Stephen Chow.



Wednesday, October 2, 2013

Tentang Aweks


     ...kerana cintaku mewangi dan harum, walau tercampak di mana jua...  Ewahh!

     Dulu aku playboy. Wah! Sebuah pengakuan! Alahai... cinta monyet zaman riang ria Ribena. Tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Stail budak-budak sekolah bercinta ; kirim-kirim surat cinta, berdating di perpustakaan (kononnya study la) etc. Oh pernah juga dapat surat cinta yang wangi macam bau bedak talkum Dashing. Terbersin-bersin aku dibuatnya. Masa itu aku terfikir, 'bedak siapalah agaknya kau tabur atas kertas kajang ni???'. Bedak abah dia kot dia belasah. Tapi tak pula aku menegur dia depan-depan, kecik hati pula nanti. Oh well... it's the effort that counts. Sehingga ke hari ini, apabila tercium bau bedak/perfume Dashing, aku pasti teringat akan gadis itu. Awek Dashing, entah dimanalah dia sekarang. Sudah kahwin gamaknya, anak 8.....


     Anyway, kita lupakan cerita awek Dashing itu. Beralih kepada AWEK CHUCK TAYLOR, sebuah novel. Menceritakan tentang lelaki bernama Hafiz, seorang playboy. Ya, aku kategorikan dia sebagai seorang playboy, playboy yang malang. Playboy sering dianggap penghancur hati wanita. Berbeza pada Hafiz, dia tidak berniat untuk meletakkan status playboy itu pada dirinya. Dia adalah mangsa keterdesakan dirinya sendiri. Hafiz bagi aku seolah-olah desperate untuk mempunyai teman wanita. Nampak kenaifannya di situ.

     Dia dipertemukan dengan Mira, gadis yang bersifat anarkis, garang dan seorang yang opinionated. Kemunculan Mira dalam hidupnya telah memberikan suatu reality check buat dirinya. Mira sentiasa mahu menang dalam setiap hal. Hafiz tidak kisah semua itu, cinta mengatasi segala galanya. Perhubungan dengan Mira secara tidak langsung merapatkan dirinya dengan keluarga Mira, terutama sekali Aiman (abang kepada Mira) yang nakal dan narsis dan Nana (adik Mira) yang anti-social, merasa diri kekurangan kerana gagap. Dalam diam Nana menyimpan perasaan terhadap Hafiz dan mengharap cinta itu berbalas. Hafiz juga menyimpan perasaan yang sama, namun sedaya upaya cuba menangkis rasa itu. Ketegangan tercetus apabila Mira dapat menghidu something fishy sedang berlaku. Apa yang berlaku seterusnya? Bacalah sendiri...

     Novel ini juga menyelitkan kisah cinta Hafiz bersama Fadilah yang kuat cemburu, Bella si kaki kikis duit, dan persahabatannya dengan Azrina, adik angkatnya yang ala-ala gedik gitu. Oh tak lupa juga dengan Sheila, gadis yang dia secretly admired.

     Perlu diingatkan, ini bukan 'another' novel cinta klise yang banyak terdapat di pasaran ketika ini. Walaupun begitu, aku yakin peminat-peminat novel 'cinta sendu' di luar sana juga pasti akan enjoy membaca novel ini kerana kelainan jalan ceritanya. (Atau mungkin menyampah lalu terus menghentikan pembacaan dan sambung baca novel sendu-sendu). Mungkin bahasa yang digunakan antara pasangan bercinta Hafiz dan Mira di dalam novel ini tidak se'lovey-dovey' novel-novel cinta yang lain, dan dialog antara Hafiz dan kawan baiknya Aiman sangatlah 18SX dan sedikit kasar, tetapi secara peribadinya bagi aku membaca novel seperti ini lebih terasa kerealistikannya, kerana bahasanya lebih dekat dengan dunia sebenar. Okay, you've been warned, jangan pula selepas ini ada yang merasa tersentap bila terbaca perkataan-perkataan 'tidak bertapis' dalam novel ini dan menyalahkan aku kerana tidak mengingatkan.

     Well written. 4/5 bintang untuk novel ini. Nami Cob Nobbler, you're such a good writer!


P/S: Chuck Taylor  = Kasut Converse